19 April 2012

Beratnya Solat Subuh


Kokkokkokkok… Kokkokkokkok…’

Arghhh, kebencian sangat menebal dalam diri mendengarkan jam loceng berbunyi sekuat hati. Jam ku gapai menunjukkan jam 4 pagi. Di Jordan kala musim sejuk, inilah masa yang paling sesuai untuk bangkit bersiap menunaikan solat Subuh. Kepenatan masih terasa di urat-urat badan dan aku memutuskan untuk tidur kembali. Aku tak punya kekuatan untuk bangkit. Tiba-tiba, kedengaran pengumuman mengatakan 1000 dinar akan diberikan oleh utusan raja bagi sesiapa yang menunggu di luar kawasan rumahnya sekarang.

Tanpa berlengah, kepenatan hilang dan aku berlari sekuat tenaga ingin mengambil ganjaran yang diberikan. Kata utusan raja, ‘Sekiranya esok dan hari-hari kemudiannya engkau menunggu di tempat yang sama pada waktu yang sama, ganjaran yang sama akan diberikan setiap hari’. Aku berada di awangan. Selamanya takkan aku lupa dan lalai untuk mengutip ganjaranku setiap pagi. Oh ironinya, diri akukah itu?

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” (HR Bukhari dan Muslim)

Untuk merangkak mendapatkan 1000 dinar, tak kuasa aku melakukannya. Menjatuhkan air muka sahaja. Lainlah sekiranya raja memberikan jutaan dinar, baruah berpatutan untuk aku merangkak mendapatkannya. Subhanallah. Namun kekasih junjungan mengatakan kita akan merangkak untuk mengerjakan solat Subuh sekiranya kita tahu ganjarannya. Bayangkan betapa hebatnya solat Subuh berjemaah sehingga kita boleh mendapatkan ganjaran sedemikian bukan sekali dalam satahun tetapi setiap hari selagi nyawa dikandung badan.

Hadis Rasulullah s.a.w juga telah mengatakan bahawa solat Subuh berjemaah ini menjadi garis pemisah antara sifat sebenar orang mukmin dan orang munafiq. Apabila Rasulullah s.a.w. meragukan keimanan seseorang, baginda akan menelitinya ketika solat Subuh. Apabila baginda tidak mendapatinya solat Subuh (di masjid), maka benarlah apa yang baginda ragukan dalam hati. Mereka yang tidak mempunyai iman yang teguh tidak akan mampu meninggalkan keindahan diulit mimpi indah di pagi buta.

Ibnu Mas‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:

“Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya atau kedua telinga. ” (HR Imam Al-Bukhari)

Menurut Imam Al-Qurtubi, kencing syaitan di sini adalah hakiki dan bukan hanya simbolik. Iaitu kita akan mampu mengenali mereka yang tidak bangun untuk mengejakan solat Subuh dengan kemuraman dan kekusutan wajahnya di pagi hari serta kehilangan cahaya dan seri.

Syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu Subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda:

“Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata): Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu ikatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas. ” (HR Al-Bukhari)

Inilah ujian yang perit namun mereka yang benar-benar beriman akan mampu melaksanakannya. Nilai yang tertinggi akan diberikan kepada mereka yang istiqamah melakukannya pada awal waktu dan secara berjemaah dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Kekuatan dan perpaduan umat Islam dapat diterjemahkan dengan kemampuan kita untuk bangun mengerjakan solat Subuh berjemaah. Bagaimana harus kita bicarakan tentang strategi-strategi untuk mengalahkan Zionis laknatullah di Palestin dan dari sumber mana untuk kita dapatkan jutaan ringgit untuk menolong saudara-saudara kita di Somalia yang kebuluran sedangkan kita tidak punya sebarang kekuatan? Dalam surah Ar-ra’d, Allah ta’ala berfirman:


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu yang mengubah nasib diri mereka sendiri ”.

Sekiranya seluruh umat Islam mampu untuk bangkit mengerjakan solat Subuh berjemaah, kita akan yakin bahawa kemenangan Islam itu sangat dekat. Sehingga orang Yahudi mengatakan bahawa mereka sangat takut sekiranya mereka menyaksikan orang Islam memenuhi masjid di waktu Subuh. Namun, kenyataan hari ini mengatakan bahawa umat kita masih jauh daripada impian ini. Bagaimana mungkin kita menang pertempuran dengan musuh di luar sedangkan kita tewas dengan hawa nafsu sendiri?

Benarlah kemuliaan umat Islam itu terletak pada kemampuan mereka untuk bangun di waktu fajar. Rasullullah s.a.w pernah mendoakan umatnya, “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (yaitu mengerjakannya).” (HR Tarmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah).

Hinggakan kehebatan solat subuh berjemaah ini diibaratkan sama seperti beribadah keseluruhan malam. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. HR Muslim.

Wahai sahabat, marilah kita teliti perjalanan hidup kita. Di manakah letaknya taraf solat Subuh kita seharian? Ayuh kita ketepikan kelembutan selimut serta tilam dan marilah kita bersegera bangkit mengerjakan solat Subuh dan yang terbaik sekali secara berjemaah demi meraih keredhaan Allah dan melihat wajahNya yang agung di akhirat kelak seperti diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Allah, sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Inilah ganjaran yang paling hebat yang mampu diperolehi oleh manusia iaitu mampu untuk melihat tuhan mereka di akhirat kelak. Dan antara caranya adalah dengan mengerjakan solat sebelum terbitnya matahari.

Akhirnya, semoga beginilah situasi kita setiap pagi,

‘Kringg kringg’. Dengan mata yang masih diulit sisa-sisa mengantuk, aku melihat jam. Pukul 4 pagi. Terngiang-ngiang di telinga surah al-Israa’ ayat 78,

“Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari dan hingga waktu gelap malam, dan sembahyang subuh, sesungguhnya sembahyang subuh itu disaksikan (oleh malaikat).”


EmoticonEmoticon